Aktivis anti perang membawa sepanduk menyindir Presiden Amerika, Barack Obama di depan kedutaan Amerika di Kiev ketika membantah rancangan menyerang Syria. - Foto REUTERS |
Washington: Negara Arab menawarkan untuk membiayai sepenuhnya kempen ketenteraan menyerang Syria bagi menggulingkan Presiden Bashar al-Assad dengan syarat usaha itu diketuai tentera Amerika Syarikat.
“Mengenai tawaran negara Arab untuk membiayai (kempen ketenteraan), jawapannya adalah ya. Mereka bersedia. Tawaran sudah dibuat,” kata Setiausaha Negara Amerika, John Kerry.Ditanya oleh ahli Dewan Perwakilan parti Republikan, Ileana Ros-Lehtinen, mengenai sejauh mana pembiayaan itu, Kerry berkata, bantuan kewangan itu ditawarkan sepenuhnya untuk serangan besar-besaran.
“Malah, ada yang berkata, jika Amerika sedia bertindak sepenuhnya seperti di tempat lain sebelum ini, mereka akan menanggung semua kos,” kata Kerry.
Kempen 90 hari
Ada penganalisis memberitahu media, kempen 90 hari membabitkan penggunaan senjata ringan kepada pemberontak, pelancaran peluru berpandu dan pesawat kawalan jauh dari kapal perang di Laut Mediterranean selain penerbangan jet tempur dari Turki memerlukan belanja AS$5 hingga AS$21 bilion (RM17.5 hingga RM73.5 bilion).
Cadangan buat masa ini oleh pentadbiran Presiden Barack Obama melancarkan serangan terhad mendapat sokongan Jawatankuasa Hubungan Luar Senat. Sepuluh anggotanya memberi sokongan dan tujuh menentang meluluskan resolusi serangan.
Obama juga dijangka tidak menghadapi masalah mendapat sokongan Senat minggu depan kerana kelebihan anggota Demokrat di dewan itu.Sabtu lalu, Obama mengumumkan akan meminta kebenaran 433 anggota Kongres bagi melancarkan kekerasan terhadap Syria atas penggunaan senjata kimia.
Sebelum ini, Presiden Amerika itu dilihat akan mengumpulkan sokongan antarabangsa bagi tujuan itu apabila menghadiri sidang G20 di Saint Petersburg, Russia, mulai semalam.Pegawai Rumah Putih berkata, Obama akan mengadakan mesyuarat di luar sidang itu dengan Presiden Perancis, Francois Hollande, penyokong utama serangan terhadap Syria, selain pemimpin China dan Jepun.
Russia beri amaran
Sementara itu, Russia memberi amaran bahawa serangan Amerika ke atas lokasi loji atom Syria akan membawa bencana nuklear di rantau itu.Moscow juga menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat analisis risiko senario berkenaan.
Amaran itu disuarakan jurucakap Kementerian Luar Russia, Alexander Lukashevich, di Vienna.
Jurucakap Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Gill Tudor, berkata agensi itu sedia menimbang langkah itu jika menerima permohonan rasmi Moscow. AGENSI
No comments:
Post a Comment